Azmin Ali & Hard Rock Cafe’

Hari ini adalah hari aku dihujani dengan tugasan saat akhir dan memenuhi appointment. Selesai appointment terakhir lewat petang, telefon ku berdering. Adik T, anak Datuk Seri mengajak berjumpa bersungguh-sungguh. Ayahnya kontraktor kelas A, menguasai perniagaan elektrik melalui TNB. Aku sudah tahu topik ingin dijaja, apa lagi kalau bukan bisnes bitcoin yang dipeloporinya dan rakan-rakan anak orang kaya yang lain. Kali ini aku tidak mengelak apabila tawaran makan di Hard Rock Cafe KL dihulurkan.

HRCKLext16

Tanpa melihat menu aku sudah mula memesan. Original Legendary Burger yang lembut isi dagingnya berserta smoked turkey dan diiringi fried onion ring adalah hidangan utama dan sampingannya Rockin’ Wings (kepak ayam goreng). Sambil aku meladeni cerita bitcoin oleh Adik T, aku memandang sekeliling. Ternyata dipenuhi golongan bisnes dan berkerja pejabat. Ada meja makan yang digantung belon disekeliling, tanda temasya hari lahir bakal disambut di meja itu. Inilah kedai kopi rakyat premium yang dijadikan lokasi keraian dan bual bicara politik pejabat dan politik negara. Oh ya, perbualan rancak mana pun akan menjadi perlahan tatkala residence band bermula jam 10 malam.

csm_Tan_Sri_Jojo__Sultan__EH_095423f7ba

Gambar: Tan Sri Syed Yusof bersama DYMM Sultan Selangor

Hard Rock Cafe adalah simbol persahabatan. Pemilik bersama adalah Tan Sri Syed Yusof atau lebih dikenali sebagai Tan Sri Jojo dan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor. Hubungan mereka bermula sejak kecil mengikuti persahabatan ayahanda mereka berdua lagi.

Hard Rock Cafe juga adalah simbol kompromi. Makanan semuanya halal,malah ayam turki yang dijual untuk sambutan krismas lepas juga dijamin halal. Namun sepertimana Hard Rock Cafe lain di seluruh dunia, arak juga dijual bersama.

Nilai-nilai Hard Rock Cafe ini wujud pada batang tubuh Menteri Besar Selangor YB Azmin Ali. Persahabatan pakatan rakyat dahulu yang memenangkan Selangor dibentuk di antara PAS, DAP dan Keadilan peringkat negeri Selangor sukar digugat. Walaupun terdapat tentangan dalam Keadilan serta rakan baharu iaitu Parti Amanah, Exco-Exco daripada PAS tetap dikekalkan. Kemuncaknya sehingga Sultan Selangor menitahkan pengekalan Exco-Exco Pas seramai tiga orang pada bulan Mei 2017. Jadilah situasi yang janggal di Selangor di mana Pakatan Rakyat terdahulu masih bernafas dan seolah-olah tindakan PAS Pusat memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat tidak relevan di Selangor. Jelas, Azmin Ali adalah simbol persahabatan.

Ucapan Tun Mahathir di padang MBPJ berkenaan keturunan PM Najib lanun Bugis disambut dengan rasa murka oleh Sultan Selangor. Walaupun Tun Mahathir jelas membantai batang tubuh Najib itu sendiri dan sebagai sindiran celaan Mamak Kerala daripada TPM Zahid Hamidi, Sultan Selangor tetap merasakan tindakan ini tidak wajar apatah lagi Sultan Selangor pertama, Raja Lumu ibni Daeng Chelak adalah berketurunan bangsawan Bugis. Jika kemurkaan Sultan Selangor ini jatuh ke sesiapa sahaja, sudah pasti seawal mungkin rintihan ampun maaf dikirim berserta permohonan mengadap. Mahathir adalah Mahathir, pada usia dan pengalaman negarawan ini, cukuplah bagi beliau memberi penjelasan dan mengelak daripada polemik lebih jauh. Sedangkan satu dunia pernah mengecam Mahathir sebagai anti-semitic disebabkan kenyataan pedasnya mengecam sikap Yahudi, dan Mahathir kekal konsisten mempertahankan kenyataannya apabila berhadapan dengan Stephen Sackur dalam rancangan Hard Talk BBC di London. Oleh itu, permainan UMNO untuk menyeret Istana Selangor lebih jauh selepas kenyataan murka dibuat tidak dibalas langsung oleh Mahathir.

azminsultan

Gambar: DYMM Sultan Selangor bersama MB Selangor Azmin Ali

Kaitan peristiwa di atas membawa kepada Azmin Ali sebagai simbol kompromi. Untuk mengekalkan hubungan Azmin Ali dengan Sultan Selangor yang sudah mengeluarkan kenyataan murka kepada Mahathir, pasukan Azmin Ali seperti Zuraidah Kamarudin, Hizwan Ahmad dan lain-lain harus mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan perlantikan Mahathir sebagai calon PM Pakatan Harapan. Makanya atas nama berkompromi dengan situasi semasa Sultan Selangor dan Mahathir, Azmin Ali harus nampak menjauhkan diri atau lebih baik lagi dilihat lebih layak menggantikan Mahathir sebagai calon PM. Inilah strategi PKR Selangor untuk mengekalkan undi Melayu di Selangor walaupun nampak menongkah arus berbanding apa dibincangkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan!

Mengenali Azmin Ali, kesetiaannya kepada Anwar tidak boleh dipertikaikan lagi walaupun ada kala berbeza pendapat dengan ahli keluarga Anwar dan sahabat-sahabat reformis yang lain. Kesetiaan pada persahabatan dan kompromi ini harus diraikan oleh pejuang Pakatan Harapan dan perlu difahami bahawa selain bacaan politik negara, wujudnya hubungan istimewa kerajaan pakatan Selangor dengan Istana Selangor. Manakala, hubungan ini sering cuba diracun dan diretakkan oleh UMNO Selangor yang menyandarkan kekuatan Kerajaan Pusat.

Usai meyakinkan adik T bahawa tempoh diperlukan untuk melabur lebih 16k untuk pelaburan bitcoin ini, aku segera melarikan diri kerana teringat parking kereta Hotel Concorde yang mahal harganya!

#hardrockcafekl #legendaryburger #sultanselangor #azminali #selangor #kedaikopirakyat #lanunbugis

Roti Canai Mahfuz

nzwangsamaju

Salah satu kedai kopi rakyat yang dekat di hati adalah NZ Curry House Wangsa Maju. Uniknya restoran mamak yang satu ini adalah, ia juga menjadi pelbagai lokasi aktiviti rakyat terutama menonton sukan berkaitan Malaysia dan luar negara secara live. Malah ia juga antara pilihan utama produser TV dan radio tempatan untuk mendapatkan reaksi live rakyat Malaysia. Sebelum menuju ke rumah, singgah sebentar di sini membasah tekak dengan teh tarik dan roti canai banjir. Rasanya konsisten dan baik, tidak akan salah dengan NZ Curry House walau di mana jua cawangan. Apabila melihat penebar roti canai bersungguh berkerja dengan bangga, saya dapat rasa yang jawatan penebar roti canai ini jauh lebih baik daripada pelayan. Mungkin gaji juga lebih baik!

Terdapat kelibat-kelibat berkopiah asyik berbual di meja hadapan, baru balik mesyuarat PAS agaknya. Takkan lama benar daripada masjid bisik hati saya. Bercampur baju melayu dan bert-shirt, seolah mengiyakan teori saya. Tiba-tiba terdengar nama bekas aktivis PAS Datuk Mahfuz Omar disebut. Lantas saya memeriksa berita ulasan pimpinan PAS kepada Datuk Mahfuz Omar antaranya FB Dato Tuan Ibrahim Tuan Man menyebut “Buah Harum Manis bila dah busuk akan jatuh sendiri”. Amboi! Sedap bahasa Timbalan Presiden PAS.

Saya antara pengguna jalanraya yang berterima kasih kepada Datuk Mahfuz Omar atas kempennya dahulu Anti Saman Ekor (KASE) terutama Ruling Mahkamah yang menyelamatkan ramai pengguna daripada membayar Saman AES. Saya akan berkongsi pandangan Saudara Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi dalam mengulas ucapan Dato Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS kepada Datuk Mahfuz Omar (dipetik daripada akbarrakyat.blogspot.my) seperti berikut:

Nak Mengata Mahfuz Pun Tengoklah Kiri Kanan Dahulu

1. Kalau ia pun Tim Pres Pas nak komen Mahfuz keluar Pas, komenlah dgn lebih manis. Mahfuz bukan anak kecil dlm Pas. Dia masuk Pas bukan pada era gemerlapan seperti era Tim Pres Pas masuk Pas.

2. Mahfuz bergelumang dgn Pas jauh lebih awal drpd Tim Pres Pas. Ketika Tim Pres Pas masih bersandiwara agama dlm Forum Perdana RTM, Mahfuz sudah pun makan gas pemedih mata FRU.
3. Ketika Tim Pres Pas makan elaun forum perdana ribu-riban, Mahfuz ke hulu ke hilir berceramah dgn saguhati RM30. Dia sara hidupnya dgn saguhati itu.

4. Ketika Tim Pres Pas tidur di hotel berbintang-bintang sediaan penganjur forum perdana, Mahfuz tidur di bawah meja mesyuarat di bilik mesyuarat pejabat Pas Taman Melewar.

5. Ketika Tim Pres Pas masih berlembut lidah bercakap agama jaga hati Umno dlm forum perdana mengikut skrip RTM, Mahfuz sudah pun hentam BN berapi-rapi dlm ceramahnya.

6. Ketika Tim Pres Pas berforum perdana di bawah lampu limpah stadium di hadapan ramai orang, Mahfuz sudah pun berceramah berdepan pokok kelapa sawit dan tengah hujan (ini pengalaman aku bersama Mahfuz).

7. Pendek kata, pedih, payah, susah, lelah Mahfuz bersama Pas jauh lebih awal drpd Tim Pres Pas. Air mata Mahfuz tumpah kerana Pas lebih banyak drpd Tim Pres Pas. Peluh Mahfuz kerana Pas lebih lencun berbanding Tim Pres Pas.

8. Tiba-tiba apabila Mahfuz keluar Pas, Tim Pres Pas kata Mahfuz ibarat buah busuk yg tak berguna. Fuhh… Sedapnya mulut. Buah busuk tidak berguna itulah yg mengusung Pas ke sana-sini sehingga nikmatnya dirasa oleh Tim Pres Pas sekarang.

9.Jangan lupa, jasa Mahfuz dalam politik diiktiraf apabila dia dianugerah datuk. Anugerah itu kerana jasa dalam politik bukan jasa dalam Forum Perdana RTM seperti Tim Pres Pas itu.

10. Nak mengata orang pun, tengoklah kiri kanan dulu

Saya fikir penulisan ini sampai maksudnya kepada pejuang-pejuang baru PAS. Bukan sahaja Datuk Mahfuz, malah ramai lagi bekas pejuang PAS seperti Abang Mat Sabu juga memiliki sejarah panjang bersama PAS dan mewarnai politik Malaysia. Saya tinggalkan anak-anak muda PAS yang masih berzikir politik usai mencapai misi mengenyangkan perut. Walau peranan sekeping roti canai mengenyangkan itu kecil tetapi tetap berjasa sepertimana peranan Datuk Mahfuz di dalam PAS. Alhamdulillah, terima kasih NZ! Terima kasih Datuk Mahfuz!

#NZcurryhouse #roticanaibanjir #PAS #mahfuzomar #tuanibrahimtuanman #kedaikopirakyat

Datuk Zakaria Arshad FGV bakal digantikan?

SDCC-1

Gambar: Sime Darby Convention Centre

Tengahari tadi berkesempatan berjumpa sahabat seuniversiti yang berkerja di Jabatan Insolvensi,berkebetulan bermesyuarat di Sime Darby Convention Centre (SDCC). Sudah lama tidak ke Chinese Treasure, restoran Cina halal milik SDCC bersebelahan dewan ballroom. Siu mai dan dim sum disediakan dibuat secara ‘hand-made’, sedap dan bersaiz besar! Selepas itu sambung bersembang dengan secawan kopi proses di Eastern Cafe di lobi bawah yang tidak pernah mengecewakan. Kebetulan terjumpa juga seorang Datuk bekas pengarah Sime Darby yang yang pernah bertugas semasa isu skandal 2010.

Wira-Azhar-fgv

Kisah kedai kopi rakyat di Cafe Sime Darby Covention Centre bermula dengan mengenang skandal Sime Darby yang lepas di mana bekas CEO, Datuk Seri Zubir Murshid dipecat dan kemudian didakwa atas isu berkaitan Akta Tanah di Sarawak melibatkan Sime Plantation. Agak pelik memandangkan pendakwaan tidak berkaitan isu besar dikatakan melanda unit E&U. Berkebetulan, bekas CEO Sime Plantation pada ketika itu adalah Datuk Wira Azhar Abd Hamid, yang semasa skandal tersebut melanda menggantikan Datuk Seri Zubir sebagai CEO. Kini Datuk Wira Azhar adalah Pengerusi FGV menggantikan Tan Sri Isa Samad.

Mengikut Datuk tersebut yang masih baik dengan bekas bosnya Datuk Wira Azhar Abd Hamid, sebenarnya tidak berkenan dengan perlantikan semula Datuk Zakaria Arshad sebagai Presiden/CEO FGV. Oleh kerana perlantikan semula adalah daripada persetujuan PM Najib, Datuk Wira Azhar terpaksa berkompromi. Walaupun begitu, Datuk Zakaria Arshad tetap ditugaskan untuk menyelesaikan isu yang dibangkit oleh Tan Sri Isa berkenaan hutang Safitex yang membawa kepada penggantungan beliau. Serta, perlantikan semula ini adalah untuk menutup ruang spekulasi buruk berikutan pergaduhan terbuka Datuk Zakaria Arshad dan Tan Sri Isa Samad.

zakariaarshad

Gambar: Datuk Zakaria Arshad menjawab soalan wartawan semasa krisis penggantungan

Adalah dijangka Datuk Wira Azhar akan mendapat kehendaknya untuk menukar Presiden/CEO FGV baru pada bulan Mac 2018 dan dikatakan Datuk Zakaria Arshad bersetuju dengan kompromi sementara ini yang bertujuan lain memulihkan reputasi Datuk Zakaria Arshad. Beliau dijangka digantikan oleh pemangku CEO FGV sebelum ini iaitu Dato Khairil Anuar Aziz. Penggantian ini pula bukanlah bersifat kebebasan 100% kepada Datuk Wira Azhar, ia juga bersifat politik kerana Dato Khairil Anuar Aziz juga adalah anak peneroka Felda. Sebelum ini, apabila Datuk Zakaria Arshad digantung, beberapa kumpulan anak Felda sama ada pro atau anti BN bersuara menentang tindakan tersebut atas alasan anak peneroka berjaya dianiayai.

DATUK ZAKARIA ARSHAD VS DATO KHAIRIL ANUAR AZIZ

Datuk Zakaria Arshad lebih diterima komuniti Felda kerana sejarah membuktikan dedikasi dan kesetiaan Datuk Zakaria yang berkerja dengan Felda bermula dengan Felda Rubber Industries seawal 1984 sehingga sekarang. Kemudian bertugas di beberapa anak syarikat dan naik daripada satu tangga ke satu tangga hingga menjawat kedudukan CEO Delima Oil Product di bawah Felda Holdings. Beliau konsisten cemerlang sehinggalah penyenaraian FGV berlaku dimana beliau dikekalkan posisi sama malah dinaikkan gred jawatan. Datuk Zakaria telah berkhidmat kepada beberapa bos seperti arwah Tan Sri Sabri Ahmad, Datuk Mohd Emir Mavani serta Tan Sri Bakke Salleh yang kemudian mengetuai Sime Darby. Tidak sampai setahun menyandang jawatan Presiden/CEO, konflik melanda antara beliau dan Tan Sri Isa Samad.

DatoKhairil

Gambar: Dato Khairil Anuar Aziz

Manakala, Dato Khairil Anuar Aziz tidak melalui laluan dedikasi yang sama bertugas dengan Felda. Kemasukan beliau ke dalam organisasi Felda adalah melalui projek politik iaitu GAPROF,sebuah NGO Pro Kerajaan yang diseliakan oleh unit Seranta Felda (unit perang saraf BN di bawah JPM). Kemudiannya,beliau diberi peluang mengetuai projek separa mati iaitu Sinergi Perdana Sdn Bhd, kononnya projek gabungan Felda, Felcra dan Risda. Syarikat ini separa mati kerana ‘redundant’ dan bertindan dengan kebolehan GLC terlibat iaitu memasarkan produk berkaitan sawit. Apa gunanya membuat syarikat Sinergi Perdana hasil gabungan 3 GLC jika GLC terlibat sendiri ada memasarkan produk sama seperti baja, racun dan benih sawit. Malah turut disenaraikan sebagai produk adalah pisau toreh dan mangkuk getah! Rujuk link produk syarikat di sini.

Dato Khairil Anuar Aziz yang masuk melalui saluran politik dan syarikat seumpama ini akhirnya diberi laluan masuk ke Felda tanpa memahami teras utama syarikat iaitu perladangan berbanding bukan sahaja dengan Datuk Zakaria Arshad, malah Pengerusi FGV Datuk Wira Azhar juga memiliki latar belakang perladangan yang kukuh di samping seorang akauntan bertauliah. Janganlah semata-mata kerana persamaan anak peneroka dan laluan kerjaya mudah di FGV sebagai ketua pemasaran sudah dijadikan asas untuk menggantikan Datuk Zakaria Arshad. Lebih baik ambil Mawi sebagai CEO FGV!

Terpulanglah kepada Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar untuk memberi lebih peluang kepada Datuk Zakaria Arshad atau pun Dato Khairul Anuar Aziz. Malah lebih baik jika Datuk Wira Azhar diberi peluang lebih besar memilih selain daripada kedua-dua calon ini asalkan beliau yakin pilihan itu dapat mengembalikan semula saham FGV ke era gemilang iaitu pada paras harga RM4.50 sesaham sebelum PRU14 bermula!

#FGV #felda #zakariaarshad #simedarbyconventioncentre #chinatreasure #kedaikopirakyat

 

Nasi Lemak Felda

nltanglin

Pagi ini bersantap di warung ikonik Nasi Lemak Tang Lin, terletak berhadapan Klinik Kesihatan Tanglin dan bersebelahan Sekolah Menengah Perempuan Methodist. Lama dan berjasa memberikan nasi lemak berkualiti kepada warga kota. Ada yang kata nasi lemaknya sangat sedap, ada kata biasa-biasa sahaja. Apa pun, ini juga salah satu kedai kopi rakyat, terutama warga kelas menengah berbicara pelbagai topik peribadi dan negara. Terdengar sok sek sok sek berkaitan Felda di meja sebelah.

Selayaknya juga dikatakan Felda juga mempunyai ramuan yang sama, lama dan berjasa kepada pemerintah sekarang. Tatkala menulis ini, sepasukan Audit Forensik sudah sampai di Menara Felda untuk menjalankan siasatan skandal tanah Semarak.

Kata Pengerusi Felda baru YB Shahrir Samad, pasukan siasatan ini dilantik Jabatan Perdana Menteri. Siapa syarikat dan kosnya ditanggung oleh siapa tidak didedahkan. Polis juga menyiasat. SPRM juga menyiasat. Siasat dan siasat lagi. Keputusan entah bila, sebagaimana siasatan skandal-skandal Felda sebelum ini.

 

shahrirsamad

Sebelum ini Sime Darby pernah melantik PricewaterhouseCoopers (PWC) untuk menjalankan siasatan skandal kerugian 4 projek E&U Division . MARA juga pernah menggunakan PWC untuk skandal pembelian tanah di Australia. Hasilnya tidak pernah diumumkan. Dalam AGM Sime Darby pada tahun skandal 2010 tersebut, Pengerusi Sime Darby ketika itu, Tun Musa Hitam berkata penemuan audit forensik tidak dapat didedahkan atas faktor undang-undang dan kepentingan kumpulan. Itu di Sime Darby, sebuah syarikat tersenarai pun tidak dapat dedahkan hasil penemuan kepada pemegang saham sendiri. Apatah lagi di Felda badan berkanun di mana JPM adalah pemiliknya!

#nasilemak #tanglin #felda #shahrirsamad #pwc #kedaikopirakyat

 

Ulasan Mahathir sebagai calon PM

mahathir

Kedai kopi rakyat meletup malam ini. Tun Mahathir sebagai calon PM dan Datin Seri Wan Azizah sebagai calon TPM. Ini mimpi ngeri BN atau apa BN harapkan?Bersorak sorai sahabat dan seteru di kedai kopi hipster, mamak, warung kampung hatta di lobi Concorde membincang topik ini.

Kali ini saya bersama sahabat saya Abang Z di Teh Tarik Place Mutiara Damansara. Pilihan menu Teh Tarik Place adalah amat baik melambangkan citarasa Malaysia dan wajar diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Nasi campur pun ada. Abang Z adalah orang yang amat mengidolakan Mahathir. Tentunya dia setuju dan teruja dengan pemilihan ini. Namun dia agak gusar dengan taktikal BN yang fokus kepada sejarah percakapan dan perbuatan Mahathir dan beriya-iya melaga-lagakan penyokong reformasi terdahulu dengan keputusan pimpinan Harapan.

Sebenarnya Pakatan Harapan daripada segi moral sudah menang. Selayaknya menjaja kemenangan moral ini ke seluruh negara hatta ke telinga makcik Felda.  Inilah signifikannya iaitu Mahathir sebagai pimpinan pembangkang! Kehadiran Mahathir, Muhyiddin dan bekas Umno lainnya apabila menyertai pembangkang bermaksud isu-isu pembangkang terdahulu itu betul. Anwar betul, pakatan rakyat dahulu dan kini pakatan harapan betul. Umno sudah rosak. Tinggalkan Umno, alternatifnya Harapan.

Bagi yang berkeras mahu Mahathir minta maaf dengan sebut satu persatu kesalahannya terutama kepada Anwar dan keluarga, berlapang dadalah. Mahathir sudah minta maaf namun janganlah mahu pijak orang tua bertaraf negawaran dunia itu dengan syarat itu ini. Masa kau melabel Mahathir dengan pelbagai gelaran tidak enak, menyebarkan berita entah iya atau tidak, adakah semua Halal dan maksum? Lihat lembut Azizah melayani pasangan Mahathir dan Hasmah kita sudah tahu kejadian dibelakang tabir bahawa Anwar dan Azizah sudah menerima kembali kehadiran mereka dalam hidup. Juga Mahathir menyantuni Mat Sabu di rumah yang pernah dilokapkan berkali kali.

Abang Z berkata Pakatan Harapan sudah menang moral dengan kehadiran Mahathir, bukti Umno sudah rosak binasa di tangan PM Najib. Malah mencatat sejarah menamakan PM dan TPM lebih awal sebelum pilihanraya berbanding pilihanraya sebelum ini!

#mahathir #barisannasional #pakatanharapan #kedaikopirakyat #sahabatseteru

 

tehtarikplace.jpg

Sahabat & Seteru

Ada satu tempat magikal dan istimewa di sisi rakyat Malaysia. Di situ, tempat bertemu sahabat dan di situ juga tempat berjumpa seteru! Sahabat kita yang paling baik, boleh jadi seteru apabila topik sensitif dibuka. Tiada lain hanya di kedai kopi, daripada yang hips, mamak atau warung, sahabat boleh jadi seteru, orang asing boleh jadi sahabat.

Ringankan mulut menegur sahabat baru cuma perlu cermat membaca air muka apabila sapaan mesra sudah jadi gangguan ketenangan. Dengan sahabat baik? Kedai kopi adalah tempat berseteru paling baik, sama ada topik PRU atau bolasepak, apatah lagi hanya kita yang tahu soft spot pencetus ketegangan! Hahaha!

#kedaikopirakyat #PRU14 #EPL

cropped-kedaikopi.jpg